Projek AQUAMS lindungi kanak-kanak daripada pencemaran

KOTA KINABALU, 17 August 2023 (Utusan Borneo Online): Pelaksanaan projek Pemantauan Kualiti Udara di Sekolah (AQUAMS) tepat kerana kanak-kanak kini lebih terdedah dengan pelbagai pencemaran. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, kanak-kanak mungkin terdedah dengan masalah kesihatan seperti serangan asma dan jangkitan pernafasan virus akibat pencemaran. Katanya, terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pencemaran udara dalam kalangan masyarakat, ibu bapa, sekolah dan kanak-kanak itu sendiri. “Saya difahamkan bahawa projek ini adalah yang pertama di Malaysia selaras dengan cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UNICEF kerana memberikan sokongan teknikal dan dana bagi melaksanakan projek ini,” katanya ketika melancarkan Projek AQUAMS, di sini hari ini. Menurutnya, perubahan iklim adalah isu yang mesti ditangani oleh semua lapisan masyarakat dari peringkat akar umbi sehingga kepada penggubal dasar. “Semua orang mempunyai peranan masing-masing dan harus komited untuk membuat perubahan yang positif walaupun dimana sahaja berada. “Kita perlu menanam pokok bermula dari sekarang supaya generasi akan datang dapat manfaat dan udara yang segar,” katanya. Christina berkata, projek perintis AQUAMS ini adalah sebahagian daripada daripada Internet of Things (IoT) bertujuan mengumpul data berkaitan kualiti udara di lima buah sekolah. “Antara sekolah yang terlibat termasuklah SM St. Michael Penampang, SMK Agama Tun Ahmadshah Kota Kinabalu, SJK(C) Chung Hwa Tamparuli, SK Buang Sayang Papar dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu. “Diharapkan lebih banyak sekolah terlibat secara langsung dalam AQUAMS pada masa hadapan dan kementerian saya berbesar hati menyokong usaha murni ini,” katanya. Source: https://www.utusanborneo.com.my/2023/08/17/projek-aquams-lindungi-kanak-kanak-daripada-pencemaran