Program Kesedaran Alam Sekitar di Sg. Telipok

KOTA KINABALU, 16 November 2023 : Satu Program Kesedaran Alam Sekitar di Sg. Telipok telah diadakan pada pagi ini di Rezab Sungai Telipok, Kota Kinabalu Industrial Park yang mana telah dihadiri oleh lebih 50 orang peserta dari pihak industri, komuniti dan juga agensi kerajaan.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Encik Vitalis J. Moduying mewakili Datuk Sr. Haji Mohd Yusrie Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Tujuan program tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pihak industri dan juga komuniti di kawasan KKIP mengenai kepentingan alam sekitar terutamanya perlindungan sungai. Program ini dilaksanakan sempena Hari Alam Sekitar Negara 2023 yang bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat agar sama-sama meraikan semangat kecintaan kepada alam sekitar.

“Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) bersama-sama dengan KKIP Sdn. Bhd. telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman pada 15 Disember 2022 untuk bersama-sama mengurus alam sekitar di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park, melaksanakan program kesedaran alam sekitar serta pelbagai latihan,” kata Encik Vitalis J. Moduying.

Inisiatif melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dengan KKIP Sdn. Bhd. menunjukkan komitmen padu dan kolaborasi yang semakin mantap terhadap usaha mempertingkatkan pengurusan alam sekitar dalam sektor perindustrian di Negeri Sabah.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti ceramah, tinjauan komuniti mengenai tahap kesedaran dan pengetahuan para peserta, membuat lilin menggunakan minyak masak terpakai, demonstrasi pengawasan air sungai, penanaman pokok kelapa pandan dan pelepasan anak ikan ke Sg. Telipok.

Encik Vitalis J. Moduying turut merasmikan papan tanda “Sayangi Sungai Kita” semasa program berkenaan.

”Tanggungjawab menjaga alam sekitar perlu kita pikul bersama dan bukan di bahu pihak Kerajaan semata-mata. Oleh yang demikian, saya menyeru agar kerjasama antara pihak industri, komuniti setempat dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan terus diperkasakan untuk kelestarian alam sekitar,” kata beliau.

Program dilaksanakan oleh JPAS dan KKIP Sdn. Bhd. dengan sokongan Jabatan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Hidupan Liar, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Bilaju Sdn. Bhd.