Anugerah SERASI tingkat program, aktiviti alam sekitar di sekolah

KOTA KINABALU, 28 October 2023 (Utusan Borneo Online) : Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) membentuk sekolah-sekolah di Sabah dalam meningkatkan program dan aktiviti berkaitan alam sekitar, ko-kurikulum serta inovasi berkaitan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata tahun ini Majlis Anugerah SERASI menyambut ulangtahunnya ke-20 dan dalam tempoh 20 tahun ini, anugerah ini berjaya mengiktiraf lebih 200 buah sekolah seluruh Sabah di dalam pelbagai kategori pengiktirafan.

“Anugerah SERASI adalah penganugerahan tertinggi di Sabah berkaitan dengan alam sekitar yang melibatkan sekolah dan ia mengiktiraf usaha berterusan sekolah dalam program pendidikan alam sekitar,” katanya pada Majlis Anugerah SERASI buat kali yang ke-12, Sesi 2022/2023 sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2023 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di sini.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Sr. Mohd. Yusrie Abdullah.

Christina berkata, program ini adalah program yang diilhamkan bersama oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah dengan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS) dan disokong oleh PTT Exploration and Production (PTTEP) Malaysia sebagai Rakan Strategik.

“Anugerah ini adalah dibawah naungan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sejak diperkenalkan pada 2003 dan dihoskan secara bergilir-gilir di antara JPAS dan JAS Negeri Sabah, sekali setiap dua tahun.

“Pada tahun pertama, program dan aktiviti SERASI akan dilaksanakan oleh pihak sekolah dan sekolah akan dinilai pada tahun kedua untuk melayakkan sekolah ke Majlis penganugerahan seperti yang diadakan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, objektif utama penganjuran Anugerah SERASI adalah untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar sekolah.

“Ia juga untuk memupuk sikap positif dan cintakan alam sekitar di kalangan warga sekolah khasnya dan masyarakat setempat amnya selain mengalakkan inovasi ke arah membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan mengiktiraf usaha berterusan sekolah dalam program Pendidikan Alam Sekitar,” katanya.

Beliau berkata, anugerah ini juga berjaya membolehkan sekolah-sekolah di Sabah memenangi pertandingan alam sekitar di peringkat kebangsaan malahan peringkat rantau Asia Tenggara.

“Yang kita banggakan adalah pencapaian seperti Sekolah Menengah St Michael Penampang menjadi Johan Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Alam Sekitar Malaysia pada tahun 2017 dan pemenang ASEAN Eco-Schools Award pada 2018 bagi kategori sekolah menengah.

“Berdasarkan rekod juga, SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang, dan SJKC Chi Hwa, Sandakan juga menerima Anugerah Sekolah Lestari (Emas) Peringkat Kebangsaan bagi sesi 2005/2006, termasuk SM St. Michael, Penampang bagi sesi 2009/2010.

“Selain muncul sebagai pemenang keseluruhan (Emas), beberapa sekolah di Sabah juga menerima Anugerah Khas misalnya SM St. Michael Penampang dalam kategori Kepimpinan dalam Pengurusan Alam Sekitar sesi 2007/2008 dan Pembudayaan Hidup Lestari di kalangan Warga Sekolah sesi 2009/2010, SK Babagon Toki dalam kategori Anugerah Khas Kesedaran Lestari Yang Tinggi dan Anugerah Khas Sekolah Harapan Lestari sesi 2011/2012, dan SMK Majakir Papar dalam kategori Anugerah Khas Bilik Lestari & Anugerah Khas Sekolah Harapan Lestari sesi 2011/2012,” katanya.

Terbaharu katanya adalah SM St Patrick Tawau yang memenangi Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar Kategori Sekolah Menengah pada Sesi 2018/2019, malahan turut memenangi ASEAN Eco-Schools Award pada tahun ini.

“Ini adalah bukti amat jelas menunjukkan bahawa Anugerah SERASI membentuk sekolah-sekolah di Sabah dalam meningkatkan program dan aktiviti berkaitan alam sekitar, aktiviti ko-kurikulum serta inovasi yang berkaitan,” katanya

Sehubungan itu Christina turut berbangga dengan pencapaian sekolah-sekolah di Sabah, yang secara tidak langsung meletakkan Sabah sebagai antara negeri yang kehadapan dalam inisiatif kesedaran alam sekitar di Malaysia.

“Saya amat berbangga kerana inisiatif-inisiatif penjagaan alam sekitar di bawah Anugerah SERASI ini berkembang subur bukan setakat di dalam kawasan sekolah malahan turut berlaku di luar kawasan sekolah.

“Saya difahamkan bahawa proses penilaian SERASI semakin mencabar kerana banyak sekolah di seluruh Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif yang lebih kreatif dalam memberi kesedaran alam sekitar kepada warga sekolah termasuk juga kepada komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, ada sekolah yang menjadi pusat pengumpulan barang kitar semula, menyediakan perkhidmatan menghantar sampah penduduk ke pekan, membantu membina perangkap sampah di sungai, mengadakan bengkel kitar semula untuk penduduk sekitar, mengadakan kempen kesedaran alam sekitar di pasar, tamu serta kawasan perumahan, mewujudkan program pantai angkat, promosikan “acara tanpa sampah” (Litter Free Event), dan menganjurkan kempen seperti International Coastal Clean Up Day di peringkat sekolah atau kampung.

“Amalan mesra alam seperti 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle misalnya telahpun dilaksanakan hampir di semua sekolah yang dilawati,” katanya.


Source: https://www.utusanborneo.com.my/2023/10/28/anugerah-serasi-tingkat-program-aktiviti-alam-sekitar-di-sekolah