Tuaran, 27 Jun 2025 (Daily Express): Sabah sentiasa mengutamakan alam sekitar dengan mengiktirafnya sebagai komponen penting dan tonggak strategik kepada pembangunan lestari.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Christina Liew berkata, dasar yang mengambil kira pertimbangan serta piawaian alam sekitar diperlukan dalam semua aktiviti pembangunan bagi memastikan kelestarian sosial dan ekologi.
Liew berkata Pelan Tindakan di bawah Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2019 yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan mencerminkan komitmen berterusan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar. Pada 2017, Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah telah dilancarkan sebagai rangka kerja panduan kami, seiring Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002,” katanya pada sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di Shangri-La Rasa Ria Resort, di sini, Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) Mary Isidore Malangking.
Liew berkata Sabah terus memperkukuhkan penyampaian pendidikan alam sekitar agar lebih menarik dalam usaha memastikan perancangan pembangunan di negeri ini mampu dilaksanakan secara mampan.
Bagi menangani cabaran kompleks dalam pendidikan alam sekitar di negeri ini, Liew berkata Dasar Pendidikan Alam Sekitar Negeri Sabah telah dilancarkan secara rasmi pada November 2009 sebagai platform penting untuk menyelaras usaha semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif pendidikan alam sekitar yang komprehensif dan berkesan.
“Saya berbangga untuk menyatakan bahawa Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai dasar pendidikan alam sekitar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Liew berkata bahan pendidikan yang lebih interaktif seperti video, modul dan dokumentasi amalan terbaik telah dibangunkan menerusi kajian oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah. Bahan ini memberi impak yang lebih baik kerana mudah diakses oleh pelbagai kumpulan sasaran dan menyampaikan mesej penjagaan alam sekitar dengan lebih berkesan,” katanya.
Christina berkata inisiatif lain yang sedang dilaksanakan termasuk Pelan Pengurusan Pesisir Pantai dan Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (Serasi), selain memperkenalkan pendekatan ‘Environmental Self-Regulation’ (ESR) untuk meningkatkan kesedaran dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Difahamkan, dua sekolah iaitu SK Rangalau Baru dan SK Pahu di Kiulu terpilih mengikuti Program Pendidikan Alam Sekitar yang dilaksanakan dengan kerjasama Shangri-La Rasa Ria Resort.
Beberapa pelajar dari kedua-dua sekolah turut menerima sijil penyertaan dan hadiah pertandingan melukis sempena program tersebut. Dalam majlis sama, Christina turut memuji pencapaian Shangri-La Rasa Ria yang menjadi hotel pertama di Malaysia dianugerahkan pensijilan ISO 20121 bagi pengurusan acara lestari.
Menurutnya, pencapaian itu selari dengan usaha Sabah mempromosikan pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan berkata pensijilan tersebut mengiktiraf komitmen resort dalam mempraktikkan kelestarian menyeluruh, termasuk kerjasama dengan komuniti pribumi dan usaha menghapuskan plastik sekali guna sejak 2012.
Beliau berkata resort itu beroperasi di kawasan seluas 460 ekar yang turut merangkumi hutan simpan seluas 64 ekar dan padang golf 18 lubang.
“Fokus kami bukan hanya pada pengurangan sisa, tetapi juga pada pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan Pacos Trust, melibatkan pembekal serta artisan tempatan, dan pengurangan penggunaan botol kaca dan plastik sekali guna sejak lebih sedekad lalu.
Resort terbabit turut menerima pelbagai anugerah seperti Sijil Hotel Hijau oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada 2023, Anugerah Emas bagi Inisiatif Kelestarian Terbaik (Kategori Antarabangsa) di M&C Asia Stella Awards 2020, dan Standard Hotel Hijau Asean 2024-2026.
Proses mendapatkan pensijilan ISO 20121 melibatkan penilaian kendiri yang ketat, penetapan sasaran terukur, pemantauan berterusan dan pematuhan terhadap keperluan undang-undang serta laporan yang telus.
Sebagai persiapan negara menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, Shangri-La Rasa Ria kekal komited menjadikan Malaysia destinasi utama bagi acara yang lestari dan mesra alam.
Source: https://www.dailyexpress.com.my/news/261280/sabah-sentiasa-utamakan-alam-sekitar/