Kerajaan perkasa dasar, mantapkan pengurusan alam sekitar

KOTA KINABALU, 05 Jun 2024 (Utusan Borneo Online): Dalam usaha memantapkan pengurusan alam sekitar di negeri ini, kerajaan memperkasakan pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan secara mampan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, usaha berkenaan memerlukan penglibatan kerjasama daripada pelbagai kementerian, jabatan dan organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.

Selain itu katanya, penghasilan dan penggunaan Pelan Pengurusan Pesisir Pantai oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan agensi berkaitan untuk memastikan pembangunan di kawasan pesisir pantai turut dilaksanakan secara mampan.

Menurutnya, kerajaan turut memperkenalkan ‘environmental selfregulation’ (ESR) bagi meningkatkan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan, serta pelaksanaan program-program kesedaran alam sekitar kepada pelbagai kumpulan sasar.

“Ia termasuklah Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) iaitu salah satu ‘flagship programme’ kesedaran alam sekitar kita di Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan usaha dan inisiatif pelbagai pihak untuk bersama-sama mencapai aspirasi pembangunan mampan di Sabah melalui kolaborasi yang mantap dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia anjuran Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan K.K.I.P Sdn Bhd di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Murad Abdul Rashid.

Christina berkata, program Sambutan Hari Alam Sekitar bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak industri dan juga komuniti di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan sekitarnya mengenai kepentingan alam sekitar.

Katanya, isu pencemaran sungai, kekurangan air bersih dan kemarau boleh dikurangkan dengan melindungi sumbernya seperti
sungai dan melaksanakan restorasi tanah seperti aktiviti penanaman pokok seperti yang dilaksanakan sempena program itu.

“Saya difahamkan, awal pagi lagi murid-murid, guru-guru dan para jemputan tiba di sini untuk bersama-sama menanam pokok di sepanjang Sungai Telipok.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua kerana berjaya menanam sebanyak 210 batang pokok kelapa pandan dan pokok tabebuia rosea atau lebih dikenali sebagai pokok sakura yang melibatkan sebanyak 46 organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Lembaga Koko Malaysia atas sumbangan anak pokok kelapa pandan berkenaan. Apabila berbuah nanti, diharap kelapa pandan berguna kepada penduduk sekitar,” jelasnya.

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/06/05/kerajaan-perkasa-dasar-mantapkan-pengurusan-alam-sekitar