KOTA KINABALU, 29 Oktober 2024 (Utusan Borneo Online): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) berbangga Pengetua Sekolah Menengah (SM) St Michael Penampang, Jennifer Asing menerima Anugerah Langkawi-Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS) bagi kategori individu sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, ALKAS merupakan pengiktirafan tertinggi peringkat kebangsaan oleh Jabatan Alam Sekitar kepada individu dan organisasi di Malaysia yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang kelestarian alam sekitar, sama ada dalam pengurusan, perniagaan, penyelidikan saintifik, akademik, penulisan atau bidang berkaitan.
“Selain itu, SM St Patrick Tawau turut menjadi pemenang dalam kategori Sekolah Lestari, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tai Tong, Sandakan (Pemenang Sekolah Harapan Lestari) dan Majlis Daerah Beaufort (Pemenang Penghargaan Khas Panel Anugerah Langkawi Sesi 2023-2024).
“Kami berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan kepada juara tempatan kita yang berjaya mengharumkan nama Sabah dalam pendidikan dan inisiatif kelestarian alam sekitar ke tahap lebih tinggi,” katanya pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 peringkat negeri baru-baru ini.
Katanya, SM St Patrick Tawau turut menerima anugerah Sekolah Eko ASEAN (peringkat Asia).
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menyedari bahawa alam sekitar merupakan komponen penting dan tunjang strategik pembangunan lestari yang memerlukan dasar bagi mengintegrasikan faktor alam sekitar, piawaian dalam semua aktiviti pembangunan bagi mengekalkan kelestarian alam serta sosial.
“Alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri, dibuktikan dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah secara berperingkat oleh pelbagai agensi kerajaan,” katanya.
Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/29/kepkas-berbangga-sekolah-tempatan-terima-anugerah-alkas