KOTA KINABALU, 01 Julai 2022 (Utusan Borneo Online): Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) dan Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn Bhd komited meningkatkan pengurusan alam sekitar khususnya sektor perladangan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, untuk mencapai aspirasi pembangunan mampan, JPAS bersama Sime Darby Plantation telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) pada tahun 2018.

"MOU yang ditandatangani pada tahun tersebut adalah untuk mengurus alam sekitar melalui pematuhan kendiri bagi pelaksanaan program latihan dan kesedaran alam sekitar sektor perladangan.

"Perkara yang terlibat dalam MOU kedua kali ini antaranya adalah pelaksanaan pematuhan kendiri ke atas Perjanjian Syarat-syarat Alam Sekitar dan Perisytiharan Pengurangan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

"Selain itu, program ini turut menekankan kesedaran alam sekitar di ladang-ladang Sime Darby dan kawasan-kawasan penempatan sekitarnya serta latihan pengurusan dan perlindungan alam sekitar kepada para pegawai," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Tapak Ramsar Tanah Lembab Kota Kinabalu, pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Jafry turut memperkenalkan penerbitan kompilasi buku dan galeri maya amalan terbaik program berkaitan perubahan iklim di sekolah-sekolah di bawah Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) Sabah.

Penerbitan buku dan galeri maya itu merupakan usahasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dengan Conference of Earth Environment from Akita, Japan (CEEA) selama tiga tahun bermula Mac 2016 sehingga Mac 2019.

"Buku ini mengandungi inisiatif pendidikan alam sekitar yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah SERASI yang boleh meningkatkan kesedaran warga sekolah ke arah pengurangan perubahan iklim dan menyokong 'Sustainable Development Goals'.

"Pengisian buku ini boleh dijadikan rujukan kepada sekolah-sekolah lain dalam melaksanakan program pendidikan alam sekitar di sekolah," katanya.

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2022/07/01/jpas-sime-darby-plantation-komited-tingkat-pengurusan-alam-sekitar