KOTA KINABALU, 11 Ogos 2021 - "Apprenticeship & Video Competition Programme" adalah aktiviti yang dilaksanakan oleh Program Sains Sekitaran, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk pelajar tahun ke-tiga, dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar mengenai isu-isu alam sekitar, melibatkan diri secara aktif dalam meningkatkan prespektif, pengetahuan, kesedaran dan tindakan masyarakat dalam membantu menyelesaikan hal berkaitan isu sekitaran tersebut. Pada masa yang sama elemen penerapan unsur-unsur keusahawanan turut didedahkan kepada pelajar. Oleh itu, pelajar dikehendaki menghasilkan media video untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang sesuatu isu sekitaran berdasarkan kemahuan pelanggan iaitu JPAS.

Para pelajar program Sains Sekitaran seramai 38 orang telah di bahagikan kepada enam kumpulan dan diminta untuk menyediakan satu video pendek berdasarkan tema yang telah dipilih oleh JPAS.

Tema-tema tersebut adalah:

1. Perubahan Iklim
2. Pemuliharaan Bakau
3. Pengurusan Pencemaran Sungai
4. Masalah Sisa Pepejal
5. Pengurusan Sumber Semulajadi
6. Kawalan Pencemaran Penternakan

Satu video terbaik, iaitu, Kumpulan Pengurusan Pencemaran Sungai telah dipilih oleh JPAS sebagai pemenang program ini.