KOTA KINABALU, 25 Jun 2021: Sesi Taklimat Program dan Perkongsian Maklumat Amalan Mesra Alam dalam Eko-Pelancongan bagi Program Pendidikan Alam Sekitar Bersama Komuniti - Fasa 1 Kg. Podos, Kg. Piasau & Kg. Kiau Nuluh, Kota Belud telah dilaksanakan pada 25 Jun 2021 secara virtual menggunakan aplikasi Zoom.

Tujuan program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran dan tindakan alam sekitar di peringkat komuniti melalui perkongsian amalan terbaik alam sekitar yang diperolehi daripada pengalaman negara-negara BIMP-EAGA serta pelaksanaan projek mini berkaitan alam sekitar dan ekopelancongan oleh komuniti.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Encik Vitalis J. Moduying, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar. Beliau berharap kerjasama di antara kerajaan dan komuniti dapat dipertingkatkan melalui program ini dan membantu dalam mencorak amalan-amalan mesra alam yang boleh dilaksanakan dalam eko-pelancongan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.

Seramai 15 peserta yang terdiri daripada para pemimpin dan wakil komuniti setempat telah menghadiri sesi taklimat ini.

Taklimat mengenai Program Pendidikan Alam Sekitar Bersama Komuniti telah disampaikan oleh Puan Nurfaeziane Nordin dan Taklimat Amalan Mesra Alam dalam Eko-Pelancongan berdasarkan “Case Studies on Sustainable Ecotourism, Agriculture and Fisheries in BIMP-EAGA” telah dikongsikan oleh Dr Susan Pudin.